Khamis, 19 Julai 2018

Malam Hari Raya Aidil Fitri Bahagian Pentadbiran Am

Aku telah ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran Am pada 15 September 2018.    Rasanyanya baru sahaja aku ditempatkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada awal Januari 2014, tetapi aku akur atas arahan tersebut.  Sememangnya aku seronok di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, kerana di situ ramai teman-teman dan setiap hari ada sahaja isu dan topik jadi perbualan kami untuk dijadikan gurau senda.

Sebelum ini aku pernah juga ditempatkan di Bahagian Pentadbiran Am dari tahun 2001 hingga 2007.  Tetapi ketika itu, aku sebagai kerani biasa yang pernah menguruskan penghantaran surat ke luar melalui pos laju dan pos biasa, Unit bekalan dan urusan perolehan Alat Tulis DBP,  urusan fotokopi dan juga urusan kenderaan dan pemandu.  Kini aku ditukarkan ke sana sebagai pentadbir dan lebih dikenali sebagai cc atau kerani kanan.  

Di bawah jagaanku ada dua orang PTPO N19, seorang Pegawai Khidmat Pelanggan yang menjalankan tugas operator telefon, dan 5 Pembantu Operasi.   Kerja di Unit Pentadbiran adalah kerja-kerja operasi yang rutin tapi banyak.   Tugasku perlu memantau tugas-tugas bagi urusan bayaran utiliti bulanan, disamping itu memantau kerja-kerja penghantaran pos ke luar melalui mesin franking dan pos laju.  Selain itu, urusan perekodan surat luar/dalaman untuk disemak dan diluluskan oleh ketua bahagian.   

Antara yang tiada di bahagian lain, tugasku ialah menguruskan penyalinan dokumen sama ada dalam bentuk manuskrip, kertas kerja, dokumen lain yang perlu diperbanyakkan dalam kadar yang segera.  Mana tidaknya, sekiranya ada manuskrip daripada Bahagian Buku Sekolah, tugas penyalinan perlu diutamakan kerana kebanyakan manuskrip tersebut perlu dibawa ke dalam bengkel sebelum dihantar ke Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sebenarnya, bukan itu yang aku ceritakan di sini.   Tetapi aku ingin menceritakan setiap kali aku ditukarkan ke bahagian lain, sudah pastinya aku akan dilantik sebagai AJK Badan Kebajikan.   Rasanya sudah letih untuk menguruskan program kekeluargaan atau sosial untuk mengeratkan silatuarrahim.  Di  Bahagian Pentadbiran Am ini pula, aku telah dilantik sebagai Timb Pengerusi Badan Kebajikan Bahagian Pentadbiran Am walaupun aku cuba beberapa kali untuk mengelaknya tetapi tidak berjaya.

Pada tahun ini, aku dan AJK Badan Kebajikan Bahagian Pentadbiran Am telah bermesyuarat untuk mengadakan Majlis Hari Raya Aidil Fitri..  Hasil daripada perbincangan tersebut, AJK bersetuju majlis itu akan diadakan pada 14 Julai 2018 bertempat di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31 pada waktu malam.  AJK juga bersetuju supaya keluarga ahli juga dijemput supaya dapat berkenal mesra.  Selain daripada menu, perlbagai isu juga dibincangkan terutama untuk mendapatkan sumbangan ahli selain ditaja daripada hasil tabung Badan Kebajikan.

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga majlis itu diadakan.  Sempat juga aku merakam kemeriahan majlis tersebut.   Pada malam itu, suami dan anakku Muhammad Irfan dapat hadir, tetapi malangnya anakku Muhammad Idzham yang tinggal di asrama tidak dapat hadir kerana pada minggu itu, ia tidak pulang ke rumah.







Makaroni Goreng (Masakan penulis)
Rendang Ayam Ala Negeri Sembilan

Ketupat  Palas - sumbangan Justina Rantian

Laksa Penang
Brownies - dimasak oleh Rafidah Rasip



Kuah Kacang untuk sate

Puding

Puding Jagung


Banyak menu yang tidak sempat dirakamkan, seperti Nasi Lemak Ikan Bilis, Lemang, Mee dan Mee Hoon Soto, rendang daging dan pulut kuning dan macam-macam lagi.    Kebanyakan semua menu disumbangkan oleh rakan-rakan yang bermurah hati.   Semuga Allah membalas jasa baik kalian. semua.  Disamping itu, sempat juga merakam semua hadirin yang dapat hadir pada malam itu.  Anakku memaklumkan ada pelakon muda Aidit Noh hadir pada malam itu.  Aku tidak begitu tahu sangat nama-nama pelakon muda ini.   Bila aku lihat wajahnya memang ada iras kawanku kerana bapanya bekerja di bahagian Pentadbiran Am.










Acara beri duit raya kepada kanak-kanak