Selasa, 22 Mei 2012

Kari Kepala Ikan

Setelah mengambil anak-anak dari sekolah agama petang itu, aku terus membeli ikan kembung yang agak besar 3 ekor dan daun pisang. Anak-anakku pula suka sangat jika aku singgah ke kedai runcit, bolehlah mereka tumpang sekaki membeli air tin atau air botol, kerana katanya terlalu dahaga. Aku yang tidak sampai hati melihat bibir mereka yang kering dan pucat terpaksalah bersetuju mereka membelinya. Kadang kala membebel juga aku kepada mereka dan menyuruh mereka mengira jumlah belanja mereka pada hari itu yang kadang kala mengalahkan duit makan aku yang bekerja.


Pada malam itu, aku memanggang ikan kembung tersebut yang telah diletakkan sedikit garam, serbuk kunyit dan cili kering yang telah diblend. Kemudian aku masak sambal tumis sotong dengan petai, dan aku panaskan masakan semalam gulai lemak kuning udang dengan rebung. Semasa makan suami dan anak-anakku gemar pula ikan kembung yang aku panggang hingga menjadi rebutan antara anak-anakku Idzham dan irfan. Memandangkan mereka sangat suka lauk ikan kembung itu, aku hanya makan lauk lain dan apabila mereka sudah selesai makan aku makanlah sedikit lebihan ikan kembung dan ratah kepala ikan kembung tersebut. Tiba-tiba aku teringatkan satu cerita sedih yang aku terima melalui emel. Ceritanya begini.....


Ros bukan nama sebenar adalah seorang isteri dan seorang ibu yang tidak bekerja. Setiap hari tugas rutin seorang isteri dan ibu menyiapkan makanan untuk keluarganya yang tersayang. Setiap kali makan bersama keluarga, kepala ikan yang akan beliau akan ambil dahulu. Suaminya dan anak-anaknya tahu sangat akau kegemarannya.


Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tibalah pada bulan itu hari jadi Ros. Ros memberi isyarat kepada suaminya, hari jadinya akan menjelang tiba. Suaminya faham akan maksud isterinya itu. Suami Ros berbincang dengan anak-anaknya apa yang disukai oleh isterinya itu. Setelah berbincang mereka telah mendapat satu keputusan.


Tibalah hari yang dinanti-nantikan. Pada hari itu Ros telah membuat masakan yang istimewa untuk mereka makan bersama-sama nanti. Petang itu suami Ros pulang membawa satu bungkusan yang berbalut cantik dan kemas. Apabila sampai sahaja di pintu, Ros memberikan senyuman yang paling manis dan paling ikhlas kepada suaminya sambil matanya meleret ke arah bungkusan hadiah yang berada di tangan suaminya. Suaminya pun membalas senyuman dan memberikan bungkusan hadiah itu kepada isterinya sambil berkata dengan lembut di telinga isterinya "Selamat Hari Ulang Tahun Ros...Abang sentiasa sayang Ros sehingga akhir hayat Abang...." Ros terus mengambil hadiah tersebut dan menarik suaminya ke meja makan sambil menyimpan hadiah tersebut dan akan membukanya apabila mereka selesai makan nanti. Anak-anaknya pun sudah sedia menunggu ayah mereka di meja makan untuk meraikan hari ulang tahun ibu mereka.


Apabila telah selesai makan, Ros membasuh pinggan mangkuk dan mengemas meja serta apa yang perlu dilakukan. Akhirnya Ros kepenatan dan terlupa untuk membuka hadiah yang diberikan oleh suaminya itu.


Setelah 3 hari berikutnya, tiba-tiba Ros teringat bungkusan hadiah yang diberikan oleh suaminya itu. Lantas beliau terus mengambil dan membuka balutan hadiah tersebut. Dalam hatinya terbayangkan mungkinkah sepasang baju atau sepasang kasut kerana bungkusan itu agak besar. Tiba-tiba alangkah terperanjatnya Ros apabila membuka bungkusan itu penuh dengan ulat-ulat kecil yang melentu-lentuk dan berjalan di sekeliling kepala ikan yang telah busuk. Air mata Ros mengalir dan jatuh dengan derasnya membasahi pipinya. Baru dia tersedar suaminya membeli hadiah itu kerana beranggapan Ros amat suka kepala ikan. Malangnya suami dan anak-anaknya tidak tahu Ros selalu memakan kepala ikan adalah semata-mata untuk suami dan anak-anaknya makan dagingnya dan beliau amat berpuas hati apabila mereka makan semuanya. Biarlahlah Ros makan kepada ikan sahaja asal mereka semua dapat menikmati masakannya.


Apabila aku membaca kisah di atas dahulu, aku juga turut mengalirkan air mata kerana aku juga akan berbuat demikian kerana itulah pengorbanan seorang isteri dan juga seorang ibu...


(Cerita itu aku olah semula untuk renungan kita bersama)


Kari Kari Kepala Ikan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan